Friday, August 21, 2009

WARNA-WARNI MERDEKA DI SMK ST MICHAEL, IPOH (MICHAELIAN'S CLASSROOM DECORATION FOR MERDEKA CELEBRATION)

Ipoh, Jumaat: 21 Ogos 2009 / 30 Syaaban 1430

Sempena perayaan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52, Unit Hal-Ehwal Murid, SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah menganjurkan pertandingan menghias kelas. Tema, isi dan kreativiti yang diketengahkan perlu sesuai dengan semangat menzahirkan jati diri atas nikmat kemerdekaan negara. Generasi muda pasti memiliki cara tersendiri bagi menghargai pengorbanan dan susah payah generasi dahulu dalam perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah durjana.

Panel juri diketuai penulis blog sendiri, serta dianggotai juga oleh Cikgu Ibrahim Ahmad (Jabatan Seni) dan Cikgu Prakas Rao, guru data. Lawatan ke setiap bilik darjah sambil mencatat butiran markah dilaksanakan dengan jayanya. Seperti biasa, keputusan juri adalah muktamad, kecuali dalam kes-kes khas yang boleh dirayu terus kepada pengetua sebagai pemimpin utama sekolah.

Kira-kira satu per tiga bilik darjah mencapai tahap cemerlang. Tema dan isi dipersembahkan dengan jelas dan jitu, manakala elemen kreativiti jelas menyerlah.

Antara yang menarik perhatian juri, walaupun tidak semestinya muncul sebagai pemenang ialah kelas 5V1. Di samping menghias bilik darjah dengan Jalur Gemilang, lampu hiasan perayaan turut dipasang. Murid 5V1 cuba "mempengaruhi juri" menyatakan kecuali Jalur Gemilang, bahan lain dibeli dengan duit poket sendiri.

Kelas 5S5 pula menampilkan gimik seawal di muka pintu lagi. Juri dihadiahi seuntai bunga telur yang disi gula-gula. Sebaik melangkah ke ruang bilik darjah, juri dihiburkan denagn lagu "Warsan" yang dipersembahkan secara unplug. Penerangan ringkas turut diberi.

Saingan terkuat 5S5 ialah 5S3 yang menggabungkan ilham guru kelas (Puan Athika) dengan pelajar. Mereka mengambil konsep terowong masa untuk mempamerkan sejarah kedatangan penjajah yang dimulai pada tahun 1511. 5S3 juga menyediakan sudut arkib mini yang memuatkan pelbagai catatan sejarah penting buat tatapan pengunjung.

Kelas 4S2 pula mengambil idea beras warna-warni yang membentuk logo "Satu Malaysia".
Begitu juga LSS 3 yang menampilkan konsep kolum yang serupa. Malah, kipas dan lampu kalimantang turut dibaluti Jalur Gemilang! Ada kelas yang menggantung kostum kaum-kaum utama Malaysia.

Kedudukan pemenang akan dumumkan sesudah cuti antara penggal 2. Ketiga-tiga juri bakal bersidang bagi menentukan juara. Diharap bahawa momentum merdeka masih hangat apabila sekolah dibuka semula pada 1 September 2010.

Hiasan menarik turut dirakam oleh kamera Bro. Matthews, Cikgu Vellu (PK HEM merangkap pengerusi pertandingan). Murid dan pelajar SMI memang pandai memanfaatkan internet untuk memperoleh bahan terbaik. Kejayaan pertandingan menunjukkan bahawa proses pendidikan telah mengambil tempat di hati generasi muda.

1 comment:

  1. cotton TC dan cotton american drill adalah bahan yang cocok untuk digunakan sebagai bahan baju seragam tk

    ReplyDelete